Wednesday, September 22, 2010

Pelajar Graduasi Lepasan Ramadhan


Hari ini 13 Syahwal. Bermaksud sudah hampir masuk minggu kedua kita meninggalkan Ramadhan.


KALAU DULU DI RAMADHAN

Aku remaja. Punya jiwa idealistik yang bergelora. Ingin membina azam dan cita-cita. Aku ingin jadikan ramadhan 1431 Hijrah penuh bermakna. Aku ingin khatam al-Quran. Aku ingin hafaz dan tadabbur Al-Quran. Aku ingin bertahajud setiap malam. Aku ingin beriktikaf sepanjang Ramadhan. Aku juga ingin gandakan amalan sunat. Aku ingin….

Wah, banyak sekali yang aku inginkan untuk mengisi ramadhan! Aku sedar. Keinginan tanpa usaha hanyalah angan-angan. Angan-angan ibarat debu di jalanan. Apabila bayu menerjah, ia terbang tanpa tujuan. Tiada function!

Tekadku membara untuk beriktikaf di rumah Allah. Alhamdulillah, telah aku relisasikan. Setiap janji pertemuan cinta dan pelukan ibadah terhadapNya telahku susun dengan cantik. Peluang menggandakan amalan ibadah tidak akanku lepaskan. Tiada masalah walau di dalam suasana kampus atau di kampung.

Aku sambut malam 10 terakhir ramadhan dengan penuh debaran. Impian terlalu tinggi yang ku semat bimbang hanya tinggal khayalan. Malam yang syahdu. Air mata berlinangan. Terlalu banyak kelalaian dan dosa-dosa dalam musafir hidup ini. Ramadhan memelukku erat. Menghadiahkan ketenangan.

Aku membaca Al-Quran. Tetapi bimbang kalau-kalau sekadar membaca namun gagal menghayatinya. Itulah tanda hatiku tidak terpilih oleh Allah. Nau’zubillah. Aku terus membuka mushaf Al-Quran. Aku jumpa ketenangan. Sambil membaca, aku melihat bait-bait terjemahan.


SYAHWAL MENYUSUL TIBA

Malam pertama Syahwal. Takbir berkumandang sayup-sayupan. Aku bersyukur. Itu hadiah terbaik bagi mereka yang bermujahadah keranaMu. Aku menangis tanda syukur. Kegembiraan yang tidak terhingga. Aku teringat pesanan Ustaz Fairuz. Tazkirahnya pada subuh terakhir ramadhan. Katanya, para salasussoleh dan orang-orang yang mencintai Allah sangat bersedih apabila berada pada hari-hari terakhir Ramadhan. Kerana takut tidak akan berjumpa lagi. Aku bermenung. Aku berfikir..

Tarbiyah Ramadhan cubaku bawa ke Syahwal. Di rumah Allah, aku melihat sekeliling. Dimana pelajar dan orang-orang kampungku yang melimpah di rumah suci ini sepertimana malam-malam Ramadhan? Hatiku cuba berbaik sangka. Hari demi hari, ku saksikan di rumah Allah masih lengang. Safnya tak sepanjang seperti yang aku bayangkan. Sejenak, aku terpukul dengan dengan persoalan. Kalau rumah Allah ini hanya indah pada bulan Ramadhan, kemudian hambar dan makin hambar pada bulan berikutnya, adakah tarbiyah Ramadhan itu tidak berkesan?

Apakah fenomena ini?


NASIHATKU

Kita bersyukur kepada Allah tidak cukup kalau sekadar kata, “Allah, aku bersyukur”. Perlu kepada amalan yang istiqamah. Aku menyeru diriku dan diri semua orang agar mengindahkan setiap malam kita dengan Pencipta. Jom hidupkan semua malam kita dengan roh, jasad, dan akal yang disulam iman dan takwa! Mahu bersama? Insyaallah.


Selamat Eid Mubarak daripada kami sekeluarga.

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment

 

BrotherMujahid.com Design by Insight © 2009