Tuesday, August 24, 2010

Ukhwah Fillah, Indahnya..



Salam 14 Ramadhan Kareem 1431H.

Keluarga, Family, Usrah, Jia Ting, Kudumbem..

Tidak kiralah apa nama sekalipun. Konsep silaturrahim disemai. Jalinan ukhwah terus dibaja. Menjadi asbab keluarga harmoni, mahabbah wa mawaddah. Persoalannya, apakah maksud silaturrahim? . Silah bermaksud hubungan. Manakala Ar-Rahim maknanya pertalian manusia dari segi keturunan dan disebut juga kerabat atau keluarga. Tidakkah anda semua mendambakan begitu? Masih lagi berfikir? Ayuh katakan..


Ya. Saya MAHU!


Sahabat, hukum memutuskan silaturrahim kekeluargaan adalah HARAM. Tetapi hari ini, macam-macam yang berlaku. Nah, lihat.. hari ini banyak kes yang melibatkan perpecahan kekeluargaan. Kes bapa saman anak 2 juta. Kes anak mengaku bapanya telah mati. Dan kebanyakannya berpunca daripada harta.

" Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jangan kamu sekutukan dia dengan sesuatu pun jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu-bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan jga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri "
(Surah An-Nisa’ ayat 36)

“Samad, abang kamu di Johor tu lama tak nampak. Kamu tak pergi melawat dia?”

“Tak pergila haji. Takde sebab saya nak ke rumah dia”

“Oh.. Itu kakak kamu yang di Perlis pun lama tak datang kampung. Kamu tak pergi ziarah dia ke?”

“Malasla haji.. Dia sendiri pun susah nak balik kampung”


Eh, anda perasan tidak? Dia baru sahaja dalam proses memutuskan saudara! Dialog diatas mungkin tidak asing bagi kita bukan? Atau mungkin inilah yang terjadi kepada anda atau mungkin saya? Sekalipun abang atau kakak kita susah untuk balik kampung, itu hal mereka. Tetapi kita yang perlu tundukkan hati. Bera’lah itu lebih baik daripada ego. Kerana apa? Mudah sahaja.. Allah didahulukan, Agama diutamakan.

Seorang yang beriman, dia pasti akan mencari jalan bagaimana untuk mewujudkan suasana yang harmoni. Sebenarnya, dengan memberi salam sahaja sudah cukup untuk mewujudkan suasana itu. Bergurau senda juga dibenarkan, tetapi berpada-padalah. Kerana diam itu lebih baik daripada bercakap. Bercakap yang sia-sia.

“Tengok imam tarawih tu, perasan tak?”

“apa yang ko cakapkan ni Muiz? Aku tak perasan apa-apa pun.”

“Tu ha.. kain dia. Macam nak terlondeh. Hihihi..”


Eh, mudahnya menambah dosa.

“Man, malam ni panaskan?”

“A’ah, panas macam api neraka!”


Hurmm, berdosakah dialog diatas itu? Tidak.. Adakah dapat pahala? Tidak.. Tetapi, bukankah lebih baik dan cantik kalau DIAM. Apakah sikap lain bagi seorang yang beriman?

Dia seorang yang hebat. Dia akan mencari jalan untuk elak dari berlaku pergaduhan. Dan Dia juga akan cari jalan untuk berdamai. Tetapi, siapakah ‘Dia’ itu? Andalah orangnya.
.

Jom jadi BAIK!

Nama saya Muhammad Hakim bin Nasnan. Datuk saya namanya Jajuli, moyang bernama Badar. Seterusnya? Oh, saya tidak ingat! Anda fikir kenapa? Mudah jawapannya. Kerana saya tidak menjalin hubungan dengan ‘mereka’? anda mahu tahu cara untuk berukhwah dengan ‘mereka’? Untuk pengetahuan anda, berukhwah ini ada dua. Pertama, berukhwah dengan orang yang hidup. Kedua, berukhwah dengan orang yang telah mati. Tetapi bagaimana?

Latih diri dan anak-anak kita rajin menziarahi pusara keluarga yang telah meninggal dunia. Insyaallah, dengan cara ini akan jalinan ukhwah menjadi kukuh. Selain itu, kenalkan saudara-mara yang jauh kepada anak-anak. Secara tidak langsung, ini menambah saham kita di akhirat. Saya kaitkan lagi. Seorang anak yang dilatih untuk memberi sedekah di masjid, pasti sikap itu akan diikut sehingga dia dewasa. Tetapi bayangkan sekiranya kita menunjuk sikap yang buruk. Misalnya suka tidur di masjid. Tidak hairan anak sampai berdengkur.


Seperti pada awal saya katakan, punca utama perpecahan dalam sesuatu institusi kekeluargaan adalah kerana harta. Rasulullah telah ajar bagaimana mengatasi masalah yang berpunca daripada harta. Jangan tengok orang diatas, tetapi tengok orang dibawah. Insyaallah kita akan redha.

Sebenarnya, untuk dapatkan dunia ini mudah. Caranya?

Sekali lagi saya katakan… MUDAH…

Dengan memiliki rumah, pakaian dan makanan kita telah pun mendapat keseluruhan dunia. Walaupun hanya memiliki pakaian, kita juga telah memperoleh 1/3 dunia. Hebat bukan?!! Tetapi yang lebih selain tiga itu adalah menyibukkan cerita. Nah, saya bagi contoh. Apabila anda ada cuma motosikal, jangan tengok orang yang ada kereta. Tetapi tengok orang yang hanya ada basikal.

“Encik, sila tunjuk lesen memandu dan kad pengenalan. Tahu apa kesalahan encik? tak pakai sitbelt. Bawa kereta melebihi had laju. Roadtax tamat tempoh. Langgar lampu isyarat. Bla… bla.. bla..”

Macam-macam soalan yang ditanya. Begitu juga diakhirat nanti. Semakin banyak tanggungjawab, semakin banyak soalan yang ditanya. Bayangkan kalau kita hanya menaiki basikal. Sudah tentu kita tidak disaman. Disoal apetah lagi. Masih berfikir tentang harta? Atau mahu terus bersilaturrahim? Tepuk hati, tanya iman. Dalam kekeluargaan kena ada sifat pemurah dan saling memberi. Itu mulia. Seperti sabda nabi Muhammad SAW,

"Sedekah kepada orang miskin mendapat pahala sedekah sahaja, sedangkan kepada yang ada hubungan keluarga mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menghubungkan silaturrahim ".

Saya tambah lagi, punca lain perpecahan dalam sesuatu institusi kekeluargaan adalah kerana POLITIK. Anda tidak percaya? Dalam sesebuah keluarga, membina baitul muslim bukannya mudah. Kalau sekadar membina itu mudah. Tetapi membina keluarga yang menyumbangkan semaksima untuk agama sangat sukar. Barulah boleh melahirkan daulah islamiyah yang hebat.

Saya tidak berminat mahu mengulas panjang tentang politik. Tetapi fikirkan ayat ini.

“Kamu ambil Al-Quran. Ambil hukum Allah. Tetapi kamu tolak hukum yang rasa tidak sesuai”

Siapakah ‘kamu’ itu? Anda fikir, anda tentukan.

Hubungkanlah silaturrahim dan jangan sekali-kali memutuskannya. Bersabarlah terhadap perbuatan yang menyakitkan & berbuat baiklah kepada yang berbuat jahat kepada kamu. Bergaullah bersama mereka dengan akhlak yang mulia semoga kita semua beroleh kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Terus bersama saya? Insyaallah.

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment

 

BrotherMujahid.com Design by Insight © 2009